Jumaat, Jun 13, 2008

Kisah kerdilnya diri



[ Ini untuk esok. ]

Pernahkah anda membaca orang yang menulis kisah untuk esok?

Ini memang bukan puisi, ini pengulangan kata. Semalam, saya tidak ‘mengepos’ apa-apa di blog ini.Semalam saya membayar janji kepada kawan-kawan untuk mengunjungi mereka.Semalam saya membaca sebuah novel dengan perasaan penuh derita (takkan mampu saya menghabiskannya).Semalam masih saya rasa kesakitan dalam dada. Masihkah ada hari ini sakit yang semalam? (Mungkin) ada. Tapi terselindung di mana-mana di celahan hati. Semalam saya terlupa bahawa saya (telah) memutuskan untuk mendiamkan diri sampai mereka sedar sendiri bahawa (mungkin) apa yang mereka percayai itu adalah kisah yang diceritakan oleh sebelah pihak sahaja. Saya maafkan mereka kerana mereka tidak pernah dilatih dalam bidang perundangan dan (mungkin) tidak tahu bagaimana caranya yang selamat untuk tidak berpihak. Saya lupa bahawa diam itu bintang, semalam. Saya terlupa, semalam, hari ini saya tak akan lupa, InsyaAllah.

[ Ah! Malas aku berpuitis begini ]

Bunyi SMS masuk. Dari Jennifer (agaknya). Malas sekali untuk membacanya. Sebelumnya ada panggilan nombor officenya masuk ke telefon bimbitku. Belum sempat ku jawab sudah mati. Tidak pula dia telefon balik. Tak kuasa membalas, biarkan.Kalau dia mahu bertanya lagi fasal abangnya --- aku tak akan bazirkan masa (lagi). Kontroversi kelas satu dalam hidup aku --- status lelaki itu --- kawanku, saudaraku. Dia pilih jalan hidup sebegitu …

Kisah-kisah kontroversi dalam hidup aku ni sudah selalu sangat. Hanya kerana aku berbeza (ah … alienkah aku ini?).

Minggu sudah menatap gambar perkahwinan Riyadh dan terakam sekali senior-senior kami, Jamal dan Shahrin, juga kalau tak silap, Carol. Tak tahu sama ada Shahrin dan Carol sudah berkahwin – nampak gaya macam sudah (maafkan kalau aku tersilap)– Shahrin sudah ada pipi (perut tak nampak pula), Carol pun nampak berisi sahaja --- tambah comel.

Melihat wajah Shahrin, aku terkenang akan kontroversinya aku sewaktu mengikuti minggu orientasi fakulti kami.

Aku tahu akibatnya kalau (terlalu) menunjukkan perbezaan.

Aku dah rasa banyak kali.

Pemulauan. Pandangan hina. Bahasa menyakitkan.

Shahrin (mungkin) masih berasa bersalah … dahulu ketika manusia freshies 1997/98 sibuk memenuhi ‘permintaan’ senior yang sedikit melampau --- aku dengan jujur menolak dari dibuli. Salahkah?

Menulis tentang kisah lama … bukan niatku untuk menyalahkan sesiapa, jauh sekali berdendam.

Sudah berkurun aku maafkan Shahrin. Malah dia menjadi antara senior yang aku hormati dan kagumi.

Apa yang aku ingati sampai kini ialah ketika ramai pembantu mahasiswa fakulti menolak markahku, si Shahrin, pengadu yang mengada-ngada itu tiba-tiba datang menambah markah aku.

Sudahlah aku tengah bengang … Shahrin malah boleh menyuruh aku menerka (meneka) kenapa dia menambah markah aku. Aku geleng, menahan airmata dari tumpah kalau aku bercakap.

“Sebab engkau berani,” Katanya.

Dengan mataku yang berkaca-kaca, hati remuk redam dengan perbuatan Shahrin, aku telan semua pandangan mata rakan-rakan yang ‘sangat bengang’akan aku.

Aku, yang dipersalahkan.

Shahrin yang membuli aku, aku yang dipersalahkan.

Pada hari penutup minggu orientasi fakulti, aku antara yang terpilih untuk berucap. Dan aku dengan rendah diri memilih untuk membuat ucapan bertajuk ‘Berani bercakap benar, walaupun ianya pahit’, antara isi kandungannya ialah permintaan maafku kepada semua senior dan Shahrin.

Permintaan maaf atas kesalahan yang tidak aku lakukan. Betapa ‘suci’. Hah!

Berlaku terdahulu dari itu, apabila senior bertanya (di mahkamah Moot), siapa yang telah ‘mengengkari’ perintah salah seorang senior … aku pantas (bingkas) bangun mengaku, menjawab dengan terang,di hadapan beratus pasang mata:

“Saya!”

Itu bukanlah suatu tindakan berani bagiku. Aku tetap rasa takut.Tapi aku hanya berlaku jujur.

Itu memang aku.

Aku --- tidak pernah kenal erti ‘mengikut arus’.

Bukan kerana aku suka akan kontroversi.
Aku hanya ada pendirian, gaya hidup tersendiri.

Terkadang aku merasa lemas dengan ‘tuduhan’tidak bersuara. Tuduhan seperti itu ‘tidak profesional’. Itu adalah ‘hukuman’ paling kejam dan paling durjana kerana tidak membenarkan pihak yang dituduh membela diri.

Aku (terpaksa) mengambil keputusan berdiam diri.

Biarpun Aaron berpendapat mendiamkan diri bermakna ‘membenarkan’ tuduhan orang. Aku rasa itu adalah lebih baik dari bertikam lidah dengan orang yang merasakan hanya diri mereka sahaja yang benar. Bahaya. Lebih banyak kerosakan akan timbul dari kejernihan. Lalu aku mengikut diamnya bintang … tetap bersinar dan dicemburui orang. Perasan! [eh! Bukankah bintang tidak mengeluarkan cahayanya sendiri? Lalu bagaimana ia dilihat berkelip-kelip di angkasaraya? Kena tengok NGEO ni …].

Ah! Benar sekali, kalau bercakap (banyak) orang akan benci.

Kerana mungkin apa yang kita cakap itu tidak dipersetujui mereka. Entah. Aku tak faham dan malas hendak mencari jawapan kenapa mereka begitu klise. Begitu tipikal. Latar belakang memanglah tidak sama, tetapi pembacaan dan ilmu sudah hampir sama tarafnya. Hanya (mungkin) mereka tidak jumpa apa yang aku jumpa, tidak faham seperti apa yang aku fahami, --- maka (mungkin) kerana itu mereka memandangku dengan pandangan alien.

Tidak tahu juga kenapa, aku malah berasa sangat terhina berhadapan dengan orang-orang seperti itu. Sepertinya aku ini … tak tahulah.

Tapi aku ingin sekali berkata:

“Yang merasakan diri mereka berada dalam kumpulan terbanyak … yang kata-kata mereka‘dibenarkan’ oleh orang sekeliling – tidak semestinya mereka itu benar.”

Sudah tentu, aku tidak pernah mengatakan aku ini benar. Siapa aku untuk membenarkan dan menidakkan?

Esok-esok, kesedihan (mungkin) tidak akan terpadam.

Mungkin juga akan ada (sedikit) kegembiraan.

Pun, ujian-ujian kecil dari Allah S.W.T. ini buat aku jadi sangat malu kepadaNya --- yang sekecil (ini) tidak dapat aku tangani, apatah lagi kalau dianugerahkan dengan ujian yang lebih besar.

Percaya atau tidak, kata-kata Shahrin ketika menambah markah aku (sumpah aku tak tahu markah tu untuk apa benda --- merit la demerit la) ..

Ya, sekali lagi, kata-kata Shahrin itu …

“Sebab engkau berani.”

Selalu aku kenang, sebagai suatu peristiwa yang hari ini aku anggap amat mempengaruhi tingkah laku aku --- sejak ia diucapkan kepadaku.

Tapi tak ada la jadi azimat.

Banggakah kau Shahrin (tabik, abang senior)?