Isnin, Julai 18, 2011

selamat kembali (ke rumah kita) Ammar

18/7/2011

-------------------

Hari ini hari lahir saya.
Sabtu lalu Ammar (anak saya) selesai menjalani rawatan selepas pembedahan menutup lubang di jantungnya.
Hadiah hari lahir? Mungkin (InsyaAllah).
Tetapi, rawatan susulan adalah wajib.

Saya terkenang kepada Najhan dan Najwa yang masih ditahan di PICU. Kedua-dua anak itu memasuki dewan bedah pagi pagi hari Selasa 12/7 yang lalu.

Hari ini suami berurusan tentang bayaran pembedahan anak (di unit taksiran), saya berpesan kepadanya agar melawat (cuba mencari) ibu bapa kepada anak-anak itu. Untuk menjadi telinga yang mendengar, untuk menjadi mulut yang memuntahkan kata-kata motivasi. Bukan kata-kata 'kesian (kasihan)'

Ammar adalah pesakit unik, hampir semua jururawat wad Melor tahu Ammar paling sukar didekati dan kerana itu Ammar digelar 'budak trauma'. Tidak boleh lihat manusia berbaju biru, pasti dia akan 'cuba' melarikan diri (tak pernah berjaya pun).

Setakat hari ini, Alhamdullillah, pembedahan Ammar berjaya. Keputusan muktamadnya akan diketahui dalam masa 6 minggu lagi. Jadi, kami belum terlepas dari rasa bimbang.

Lupakan itu dulu.

Saya hanya ingin memberi hadiah kepada diri saya sendiri :-)

Ini hadiahnya - mencari ruang untuk menulis sedikit luahan hati.

--------------------------------------------------------------------------

Luahan hati besday mommy ....

... Ammar, mak ingin bercerita. Cerita tentang pengorbanan mak membawamu ke tempat itu, Institut Jantung Negara. Mak hendak kau menjadi seperti kakak Husna, yang kuat semangat juangnya. Jadi mak relakan kau dibuka jantungmu, disiram jantung dan hatimu dengan air zamzam. Dengan izin Allah kau bangun tiga jam selepas dibedah, tidak lagi bergantung kepada mesin pernafasan mulai sebelah petangnya, esoknya kau dipindahkan ke High Dependancy Unit dan sehari selepas itu ke wad biasa. Lima hari selepas dibedah, kau dibebaskan dari IJN.

Suatu hari, tengahari, mak mengunjungi adik Najhan di PICU. Mak cuba memberi semangat kepada adik Najhan dan ibu bapanya. Mak juga senyum kepada ayah dan ibu Najwa, memberikan isyarat bahawa mereka akan bernasib baik juga, cuma memakan sedikit lagi masa.
Ayah Najwa sudah sebulan tidak ke pejabatnya. IJN jadi rumah kedua. Macam kita juga.

Mak menunggu ibu Najhan menyerahkan pas di bilik menunggu. Sambil-sambil itu mak menghabiskan masa dengan menelefon kawan-kawan mak di pejabat bertanyakan situasi semasa.

Selama mak bekerja, belum pernah mak lupakan tanggungjawab terhadap kerja. Tetapi anak mak akan dibedah, jadi mak mengetepikan seketika semua soal kerja. Semua. Fokus mak adalah dirimu.

9/7/2011 (Sabtu) dijadualkan ada satu perhimpunan 'haram' akan berlaku. Ammar, kau dijadualkan untuk dimasukkan ke wad IJN untuk pemerhatian sebelum pembedahan pada tarikh itu.

Jadi keluarga mak dan kawan-kawan yang prihatin menasihatkan mak dan ayah membawamu ke Kuala Lumpur lebih awal. Ada yang mencadangkan kami bertolak awal pagi Jumaat.

Tetapi kami mengambil keputusan bertolak selepas solat Jumaat, 8/7/2011. Bagaimanapun kita tetap terperangkap dalam kesesakan lalu lintas sehinggakan kita tiba di Ampang jam 10 malam!

..... bersambung nanti ........

Ahad, Julai 03, 2011

Perabot lawan kicap

Pengguna : Perabot dan kicap, eh lawan kicap
-----------------------------------------------

Berapa botol kicap sebulan yang emak saya beli masa membesarkan semua anaknya dulu?
Dua botol kicap, botol yang besar, terbesar.

Faktor pembelian kicap : anak-anak memang suka makan kicap.

Jenama : sepuluh tahun pertama : TM
tempoh belian : seperti di atas (dua botol besar sebulan)

sepuluh tahun berikut (sampai sekarang) : KU
tempoh belian : juga seperti di atas (dua botol besar sebulan, sekarang tinggal 1 botol)

Jadi adakah permintaan kicap TM merudum disebabkan pertukaran citarasa pengguna?
Kalau setakat satu isi rumah, tidak.

Tapi kalau memang ramai pelanggan bertukar ke jenama yang banyak diiklankan maka jualan syarikat TM akan merudum. Itu faktor utama.

Apa kena mengena dengan perabot?

Oh, mak saya beli perabot (ambil satu jenis - set ruang tamu - sofa, meja makan) - lima atau enam tahun sekali baru tukar.

Memang harga perabot jauh lebih mahal dari kicap, tapi, persaingannya sengit macam kicap juga. Pengusaha (usahawan) perabot rotan keluarkan sepuluh set premium set ruang tamu sebulan, harga RM3,000 satu set, tapi nak jual satu set makan masa seminggu hingga sebulan.

Bersaing pula dengan penjual perabot terpakai - set kerusi sofa rotan dijual RM1,500 satu set bagi jenis yang sama.

Hampir semua kedai perabot di Melaka, pada bulan nak dekat raya (pelbagai jenis raya), akan buat jualan murah.

Sesetengah kedai boleh pulangkan balik deposit.

Sesetengah kedai tak kenakan caj penghantaran barang.