Jumaat, Jun 25, 2010

Align CenterBuah hati kami : pada usia : 24 hari

Selasa, Jun 22, 2010

'Beranak' itu sakit, tahu!

Salam sayang buat semua

-----------------

subjek hari ini : melahirkan anak sangat menyakitkan bagi saya

mari saya tegaskan : sakit tau, melahirkan manusia ke dunia

bagi yang telah merasa, tentu bersetuju kalaupun tidak 100%

selepas melahirkan walaupun ada kelegaan dan kebahagiaan, tetapi masih banyak 'penderitaan' yang mesti ditempuhi

bezanya : ada yang ambil positif, ada yang menerimanya secara negatif

orang yang tidak merasa mungkin berkata : ah -- biasalah tu, kan itu tugas perempuan (kalau sampai saya dengar dari mulut yang berkata sendiri, saya akan tampar mukanya ketika itu juga)

setelah melahirkan anak, saya akui saya tidak lagi pandang remeh tugas perempuan
apatah lagi tarafnya! Ingat!

apa yang sakit?

fizikal sudah tentu.
emosi --- sikit.

ketika bertarung dengan kesakitan melahirkan, saya sempat berfikir, kalau begini sakit melahirkan, sakit mati bagaimana? saya hanya fikirkan bagaimana keadaannya ketika saya menghadapi sakaratul maut kelak. Terdayakah saya mengeluarkan bunyi seperti yang saya buat ketika beranak?

Ramai yang bercerita (memberitahu), kebanyakan perempuan Islam (Melayu) apabila melahirkan anak --- tidak membuat bunyi bising.

Tidak berlaku kepada saya, maksud saya, saya bising ketika melahirkan, saya tidak menjerit, saya hanya minta tolong dan marahkan doktor.

Saya berulangkali minta diberikan ubat penahan sakit.

Kata doktor, saya tidak boleh diberikan ubat penahan sakit kerana jantung anak saya lemah.

Doktor dan jururawat memberikan masa 5 jam lagi untuk saya menunggu sehingga bukaan rahim 10 cm.

Jangkaan mereka sangat tersasar.

Hanya 5 minit selepas membuat jangkaan, mereka telah menyambut anak lelaki saya ke dunia ini!

Anak lelaki saya lahir dengan bukaan rahim 5 cm sahaja. Saya tidak tahu sama ada doktor ada menggunting sedikit faraj saya. Yang saya tahu, sebaik sahaja air ketuban dipecahkan, kepala bayi pun sudah nampak sebelum saya diminta meneran. Dua kali teran, badan anak saya terus keluar, kata jururawat, semuanya berlaku begitu pantas.

Dan doktor yang merawat saya menggelarkan saya : 'kakak yang cepat'.

Cepat melahirkan. Hampir-hampir mereka tidak dapat bersedia untuk menyambut bayi saya.

Bayi saya dan suami. Permata hati kami berdua dilahirkan jam 2.50 petang hari Sabtu, 29 Mei, 2010.

Saya rasa 'berat' di bahagian bawah perut lebih kurang jam 11.30 pagi hari Sabtu itu.

Saya sama sekali tidak menjangka akan bersalin pada hari itu memandangkan tiada tanda turun darah atau air atau sakit.

Saya masak nasi goreng dan sediakan bahan masakan untuk tengahari.

Jam 12 tengahari, perut sakit tiba-tiba. Saya sempat makan nasi goreng.

Sakitnya datang 3 minit sekali. Kuat sekali kontraksi yang datang.

Saya beritahu suami tentang keadaan diri. Suami cuba menenangkan tetapi sakitnya makin kuat membuat kami ambil keputusan ke hospital

Sempat saya mandi dalam keadaan kesakitan yang amat.

Jam 12.45 petang kami sudah menuju ke hospital. Kesakitan makin terasa.

Jam 1.15 petang, saya telah di bawa ke ruang pemeriksaan kamar bersalin dengan dipasangkan mesin mengira denyut jantung dan kekuatan kontraksi.

Bukaan ketika itu 3 cm sahaja. Jam 1.45 petang bukaan menjadi 4 cm.

Apabila tiba-tiba bukaan menjadi 5 cm, saya diminta segera menukar baju dan diberikan ubat mengeluarkan najis.

Di dalam bilik air, saya menahan kesakitan yang amat sehingga saya mencakar peha kiri saya sekuat-kuat hati.

Keadaan diri yang sudah menggigil teruk menyebabkan saya di bawa ke kamar bersalin, saya ditempatkan di kamar bersalin 7.

Walaupun ada jam yang besar di bilik itu, saya telah tidak dapat sedar waktu dengan tepat. Saya hanya tumpukan kepada kesakitan dan bacaan-bacaan doa. Sakitnya hanya Allah yang tahu.

Saya merayu kepada semua petugas yang menjenguk saya agar diberikan ubat penahan sakit. Malangnya tidak dipenuhi kerana jantung anak diberitakan lemah.

Lima minit sebelum kelahiran bayi, sempat saya menelefon emak saya meminta emak melakukan solat hajat memohon keselamatan saya dan bayi.

Oleh kerana saya asyik meminta ubat penahan sakit, doktor yang kebetulan lalu di kamar itu memeriksa saya. Dr. Hamzah, kalau tidak silap saya.

Kata beliau, bukaan masih kecil dan rahim masih tebal tapi nampaknya kepala bayi sudah betul-betul di bawah.

Doktor meminta jururawat memanggil petugas lain.

Sebaik sahaja kumpulan petugas tiba, doktor memecahkan air ketuban. Sebetulnya ketika ini saya tidak nampak apa-apa lagi kecuali bintang-bintang.

Akhirnya di tengah keriuhan kamar bersalin itu, saya berjaya meneran bayi saya keluar.

Alhamdullillah!!!!

Sakitnya tidak terucap : sakit tau!!!!!

Anak itu diletakkan di dada saya, saya diminta mengesahkan jantina bayi.

Beberapa minit selepas proses menjahit tempat keluar bayi itu selesai, bayi lelaki saya dibawa masuk --- saya diberitahu bayi itu yang kini dinamakan Ammar dilahirkan dengan berat 2.5 kg sahaja.

Terus saya bertanya kepada doktor : sihatkah bayi saya walaupun kecil?

Doktor menjawab, setakat itu bayi saya tiada masalah.

Syukur ya Allah!

Demikian sebahagian kisah kelahiran putera sulungku dan suami.

-----------------------------------------------------------------------

Ketika ini, saya melarikan diri sekejap dari situasi --- anak dan berpantang

Betullah kata orang yang baru ada keluarga sendiri --- semua akan jadi lain, berbeza. Terutama bila si kecil muncul dalam hidup

Kelainan pertama bagi saya ialah : saya tidak berpeluang membaca semula apa yang saya tulis atau fikirkan perkara lampau

sekarang saya mesti fikir ke depan, dan apa yang telah saya tulis di blog ini atau mana-mana tempat lain sama ada ia mungkin akan terbengkalai atau dilupakan terus

saya akui saya akan jadi lain : lebih berterus terang dan tepat pada maksud

sebabnya : masa mungkin tidak akan mengizinkan

Jadi masa untuk 'editing' tidak banyak seperti dulu

semua kepentingan hidup mesti dirombak semula tiada dakwa dakwi lagi

jika saya menjadi manusia yang tidak bertapis-tapis dalam hidup dan tidak nampak baik seperti dahulu --- maafkanlah saya.

jika saya mengetepikan anda dan mengabaikan sesetengah perkara yang dulu saya boleh beri perhatian walau ia tak berapa penting, harap difahami

tetapi tersemat dalam hati ini benda yang penting yang perlu disiapkan --- cita-cita menulis sesuatu yang baik, telah ada suatu subjek yang menjadi perhatian. Kini setelah 24 hari berpantang, barulah keinginan itu datang semula.

[anak menangis. kadangkala sebab basah atau takut ditinggal keseorangan, saya telah beri ia minum tak sampai 30 minit yang lalu --- tiba-tiba bayi saya diam, mungkin emak saya telah menepuknya perlahan-lahan. Bolehlah saya terus di pejabat kecil adik saya ini beberapa waktu lagi]

Saya mesti kembali ke dunia nyata. Sebentar lagi mesti bertungku, memakai bengkung dan duduk menunggu anak minta menyusu.

Inilah kerjaya saya sekarang.

Tetapi gambaran kamar bersalin itu masih tidak hilang. Kesakitan melahirkan tetap diingati.

-----------------

Jumpa lagi nanti :-)

Ahad, Jun 20, 2010

lagi kisah benar : asthma : serangan yang tidak dapat dilupakan

anak saya tidur semula ... saya 'lari' kejap ke sini

-------------

BAHAGIAN AKHIR : Serangan Asthma


tiba di jabatan kecemasan, telah menunggu pegawai yang berkenaan , jiran kepada mak cik Misah, dulunya jiran saya jua, tapi al maklum, saya tidak mengenali beliau dan anak-anak buah beliau yang tinggal berhadapan dengan rumah sewa saya dulu ... semuanya lelaki, jadi memang tak pernah berkomunikasi dengan mereka.

Tetapi beberapa kali ke jabatan kecemasan, mereka ada menegur saya. Rupanya pemuda-pemuda yang baik hati tu cam wajah saya dan tahu saya pandu kereta apa, sedangkan saya memang susah nak cam mereka. Maafkanlah 'kesombongan' saya, ya, Tuan-tuan semua.

Hakikatnya mereka lah yang membantu saya dan memudahkan urusan saya di jabatan kecemasan hospital berkenaan.

Terima kasih, terima kasih daun keladi.

Sebaik tiba di jabatan kecemasan, terus saya di bawa ke asthma bay, dengan kerusi roda.

Saya dipertemukan dengan doktor-doktor muda yang baik-baik belaka. Mereka juga mendaftarkan saya, tak perlu saya menunggu untuk membuat pendaftaran.

Terus saya diberikan bekalan oksigen.

Di ringkaskan cerita, empat kali saya diberikan gas ... dua kali cucuk ubat, dari jam 3.10 petang hingga jam 5.45 petang, mak cik misah yang baik budi menunggu saya di asthma bay.

Doktor yang merawat menunjukkan sikap prihatin yang tinggi malah menyatakan kerisauan dan kehairanan kerana setelah beberapa kali cubaan diberikan oksigen, saya masih tidak pulih.

Sepanjang rawatan, saya memaklumkan keadaan saya kepada suami yang sedang berkursus tetapi saya menyakinkan suami bahawa saya okey. Saya minta suami mendoakan keselamatan saya dan bayi.

Namun hati saya sangat bimbang dengan situasi janin yang kurang bergerak ... cukupkah oksigen untuk janin saya?

Sudah sampai ke minggu-minggu terakhir kehamilan, saya sangat sayangkan janin ini. Saya tidak sanggup kehilangannya. Namun saya pasrah.

Sesudah beberapa kali rawatan, saya masih belum pulih, dada masih terasa ketat. Kesukaran bernafas, masih lagi terasa.

Jam 6 petang keputusan di buat oleh doktor pakar. Saya dimasukkan ke wad perubatan untuk pemantauan.

Adik-adik saya tiba jam 6.15 petang, Fizah menguruskan kemasukan saya ke wad.

Mak cik Misah pun pulang. Terima kasih atas pertolongan mak cik sekeluarga!

Saya dibawa ke wad perubatan dengan ambulans.

Encik K, jiran makcik Misah yang baik budi itu menunggu sehingga saya dinaikkan ke ambulans, saya mengucapkan terima kasih kepadanya sebelum berpisah di jabatan kecemasan. Ambulans membawa saya dan beberapa pesakit lain wad-wad di bangunan lain.

Saya juga ditolak ke katil dengan kerusi roda. Saya memang langsung tak berupaya bergerak sendiri. Bergerak selangkah pun amat menyeksakan, menyesakkan dada saya.

Untuk ke bilik air pun, anak kepada jiran katil sebelah yang tolong menghantar dengan menolak kerusi roda saya. Terima kasih, kak!

Dua malam saya di hospital, mengalir lagi airmata saya kerana bimbangkan janin saya dan rindukan suami!

Pemantauan oleh doktor-doktor dan doktor pakar sangat baik, saya diajar menggunakan pam asthma dan dirawat menggunakan nebulizer.

Pun begitu .... "acara" pengambilan darah ketika dimasukkan ke wad buat kali itu sangat menyeksakan!

Terima kasih kepada doktor-doktor semua dan adik-adik pelatih jururawat terutamanya si lelaki yang comel tu. Hahahah! Budak kecik je, tapi sangat prihatin dan berpengetahuan tinggi terutamanya dalam bab mengikat langsir.

Terima kasih juga kepada Ketua Jabatan Sumber Manusia kolej tempat saya bekerja, Datin Noraini yang melawat saya di wad.

Buat suami yang terus melayani saya dengan baik sepanjang saya sakit, mama kagum dengan pengorbanan dan kesabaran abang. Dikaulah suami mithali :-)

Alhamdulillah setelah mendapatkan rawatan, saya pulih dengan perlahan-lahan dan boleh menjalani kehidupan dan kandungan saya dengan baik selepas itu.

Terima kasih, As-Syakur Ya Allah!

------------------------------------------------------------------

[ Ammar masih diam ... barangkali memahami mamanya 'sibuk' :-) ]







sambungan kisah benar : terselamat ...

bayiku sedang tidur ...

-----------------------

Kisah Asthma

... Mak cik Misah sekeluarga telah sampai ... pak cik, Along dan Haziq.
Saya sangat bersyukur dan rasa sedikit lega namun sebenarnya asma saya makin teruk
hampir-hampir sahaja tidak boleh bercakap
tetapi kerana menghormati orang yang datang membantu, saya gagahkan diri berbual-bual sepanjang perjalanan mendapatkan rawatan ... pada mulanya saya bercadang ke klinik swasta tapi mak cik Misah mencadangkan saya ke hospital sahaja kerana lebih baik rawatannya
lagi pula saya mengandung dan kes berpelekat merah pula tu

Mak cik Misah menghubungi jirannya yang bekerja di jabatan kecemasan ... kebetulan jirannya itu baru sahaja masuk kerja pada petang kejadian

rezeki saya ... semuanya dipermudahkan Allah ... saya mengucap syukur dalam hati sebanyak-banyaknya!

[anak merengek ... memanggil susunya datang]
---------------