Selasa, Jun 22, 2010

'Beranak' itu sakit, tahu!

Salam sayang buat semua

-----------------

subjek hari ini : melahirkan anak sangat menyakitkan bagi saya

mari saya tegaskan : sakit tau, melahirkan manusia ke dunia

bagi yang telah merasa, tentu bersetuju kalaupun tidak 100%

selepas melahirkan walaupun ada kelegaan dan kebahagiaan, tetapi masih banyak 'penderitaan' yang mesti ditempuhi

bezanya : ada yang ambil positif, ada yang menerimanya secara negatif

orang yang tidak merasa mungkin berkata : ah -- biasalah tu, kan itu tugas perempuan (kalau sampai saya dengar dari mulut yang berkata sendiri, saya akan tampar mukanya ketika itu juga)

setelah melahirkan anak, saya akui saya tidak lagi pandang remeh tugas perempuan
apatah lagi tarafnya! Ingat!

apa yang sakit?

fizikal sudah tentu.
emosi --- sikit.

ketika bertarung dengan kesakitan melahirkan, saya sempat berfikir, kalau begini sakit melahirkan, sakit mati bagaimana? saya hanya fikirkan bagaimana keadaannya ketika saya menghadapi sakaratul maut kelak. Terdayakah saya mengeluarkan bunyi seperti yang saya buat ketika beranak?

Ramai yang bercerita (memberitahu), kebanyakan perempuan Islam (Melayu) apabila melahirkan anak --- tidak membuat bunyi bising.

Tidak berlaku kepada saya, maksud saya, saya bising ketika melahirkan, saya tidak menjerit, saya hanya minta tolong dan marahkan doktor.

Saya berulangkali minta diberikan ubat penahan sakit.

Kata doktor, saya tidak boleh diberikan ubat penahan sakit kerana jantung anak saya lemah.

Doktor dan jururawat memberikan masa 5 jam lagi untuk saya menunggu sehingga bukaan rahim 10 cm.

Jangkaan mereka sangat tersasar.

Hanya 5 minit selepas membuat jangkaan, mereka telah menyambut anak lelaki saya ke dunia ini!

Anak lelaki saya lahir dengan bukaan rahim 5 cm sahaja. Saya tidak tahu sama ada doktor ada menggunting sedikit faraj saya. Yang saya tahu, sebaik sahaja air ketuban dipecahkan, kepala bayi pun sudah nampak sebelum saya diminta meneran. Dua kali teran, badan anak saya terus keluar, kata jururawat, semuanya berlaku begitu pantas.

Dan doktor yang merawat saya menggelarkan saya : 'kakak yang cepat'.

Cepat melahirkan. Hampir-hampir mereka tidak dapat bersedia untuk menyambut bayi saya.

Bayi saya dan suami. Permata hati kami berdua dilahirkan jam 2.50 petang hari Sabtu, 29 Mei, 2010.

Saya rasa 'berat' di bahagian bawah perut lebih kurang jam 11.30 pagi hari Sabtu itu.

Saya sama sekali tidak menjangka akan bersalin pada hari itu memandangkan tiada tanda turun darah atau air atau sakit.

Saya masak nasi goreng dan sediakan bahan masakan untuk tengahari.

Jam 12 tengahari, perut sakit tiba-tiba. Saya sempat makan nasi goreng.

Sakitnya datang 3 minit sekali. Kuat sekali kontraksi yang datang.

Saya beritahu suami tentang keadaan diri. Suami cuba menenangkan tetapi sakitnya makin kuat membuat kami ambil keputusan ke hospital

Sempat saya mandi dalam keadaan kesakitan yang amat.

Jam 12.45 petang kami sudah menuju ke hospital. Kesakitan makin terasa.

Jam 1.15 petang, saya telah di bawa ke ruang pemeriksaan kamar bersalin dengan dipasangkan mesin mengira denyut jantung dan kekuatan kontraksi.

Bukaan ketika itu 3 cm sahaja. Jam 1.45 petang bukaan menjadi 4 cm.

Apabila tiba-tiba bukaan menjadi 5 cm, saya diminta segera menukar baju dan diberikan ubat mengeluarkan najis.

Di dalam bilik air, saya menahan kesakitan yang amat sehingga saya mencakar peha kiri saya sekuat-kuat hati.

Keadaan diri yang sudah menggigil teruk menyebabkan saya di bawa ke kamar bersalin, saya ditempatkan di kamar bersalin 7.

Walaupun ada jam yang besar di bilik itu, saya telah tidak dapat sedar waktu dengan tepat. Saya hanya tumpukan kepada kesakitan dan bacaan-bacaan doa. Sakitnya hanya Allah yang tahu.

Saya merayu kepada semua petugas yang menjenguk saya agar diberikan ubat penahan sakit. Malangnya tidak dipenuhi kerana jantung anak diberitakan lemah.

Lima minit sebelum kelahiran bayi, sempat saya menelefon emak saya meminta emak melakukan solat hajat memohon keselamatan saya dan bayi.

Oleh kerana saya asyik meminta ubat penahan sakit, doktor yang kebetulan lalu di kamar itu memeriksa saya. Dr. Hamzah, kalau tidak silap saya.

Kata beliau, bukaan masih kecil dan rahim masih tebal tapi nampaknya kepala bayi sudah betul-betul di bawah.

Doktor meminta jururawat memanggil petugas lain.

Sebaik sahaja kumpulan petugas tiba, doktor memecahkan air ketuban. Sebetulnya ketika ini saya tidak nampak apa-apa lagi kecuali bintang-bintang.

Akhirnya di tengah keriuhan kamar bersalin itu, saya berjaya meneran bayi saya keluar.

Alhamdullillah!!!!

Sakitnya tidak terucap : sakit tau!!!!!

Anak itu diletakkan di dada saya, saya diminta mengesahkan jantina bayi.

Beberapa minit selepas proses menjahit tempat keluar bayi itu selesai, bayi lelaki saya dibawa masuk --- saya diberitahu bayi itu yang kini dinamakan Ammar dilahirkan dengan berat 2.5 kg sahaja.

Terus saya bertanya kepada doktor : sihatkah bayi saya walaupun kecil?

Doktor menjawab, setakat itu bayi saya tiada masalah.

Syukur ya Allah!

Demikian sebahagian kisah kelahiran putera sulungku dan suami.

-----------------------------------------------------------------------

Ketika ini, saya melarikan diri sekejap dari situasi --- anak dan berpantang

Betullah kata orang yang baru ada keluarga sendiri --- semua akan jadi lain, berbeza. Terutama bila si kecil muncul dalam hidup

Kelainan pertama bagi saya ialah : saya tidak berpeluang membaca semula apa yang saya tulis atau fikirkan perkara lampau

sekarang saya mesti fikir ke depan, dan apa yang telah saya tulis di blog ini atau mana-mana tempat lain sama ada ia mungkin akan terbengkalai atau dilupakan terus

saya akui saya akan jadi lain : lebih berterus terang dan tepat pada maksud

sebabnya : masa mungkin tidak akan mengizinkan

Jadi masa untuk 'editing' tidak banyak seperti dulu

semua kepentingan hidup mesti dirombak semula tiada dakwa dakwi lagi

jika saya menjadi manusia yang tidak bertapis-tapis dalam hidup dan tidak nampak baik seperti dahulu --- maafkanlah saya.

jika saya mengetepikan anda dan mengabaikan sesetengah perkara yang dulu saya boleh beri perhatian walau ia tak berapa penting, harap difahami

tetapi tersemat dalam hati ini benda yang penting yang perlu disiapkan --- cita-cita menulis sesuatu yang baik, telah ada suatu subjek yang menjadi perhatian. Kini setelah 24 hari berpantang, barulah keinginan itu datang semula.

[anak menangis. kadangkala sebab basah atau takut ditinggal keseorangan, saya telah beri ia minum tak sampai 30 minit yang lalu --- tiba-tiba bayi saya diam, mungkin emak saya telah menepuknya perlahan-lahan. Bolehlah saya terus di pejabat kecil adik saya ini beberapa waktu lagi]

Saya mesti kembali ke dunia nyata. Sebentar lagi mesti bertungku, memakai bengkung dan duduk menunggu anak minta menyusu.

Inilah kerjaya saya sekarang.

Tetapi gambaran kamar bersalin itu masih tidak hilang. Kesakitan melahirkan tetap diingati.

-----------------

Jumpa lagi nanti :-)